Posted Date: November 25, 2020
This article, which was written by MARC's Senior Economist Firdaos Rosli, was published in Harian Metro & My Metro on Wednesday, November 25, 2020.
Tidak dinafikan kesan penutupan dan sekatan ekonomi disebabkan penularan wabak Covid-19 dirasai secara tidak seimbang oleh semua lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang berada di bahagian bawah pengagihan pendapatan.
Sejak 1 Oktober 2020, bantuan moratorium untuk peminjam berubah kepada bantuan pembayaran balik yang disasarkan (TRA) seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan. Ini bermakna bantuan diberikan kepada mereka yang pendapatannya terjejas akibat Covid-19.
Bukan semua peminjam mampu membuat membayar balik ansuran bayaran pinjaman seperti sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Masih ada antara kita menggesa TRA dikaji semula kerana kesan PKP mendalam dan unjuran pendapatan mereka yang tidak menentu.
Walaupun data rasmi BNM menunjukkan 85 peratus daripada peminjam membuat bayaran balik sejak awal bulan lalu, keresahan rakyat dalam hal ini mesti diutamakan.
Perspektif ekonomi di peringkat makro perlu dilihat melalui lensa yang sama.
Ekonomi negara perlu diletakkan di landasan pemulihan dan seterusnya keluar daripada genggaman kemelesetan ekonomi.
Prestasi sektor kredit memainkan peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi pada masa ini.
Pada 2019, hutang isi rumah dianggarkan bernilai RM1.25 trilion ataupun 82.7 peratus daripada nominal KDNK negara, dengan peningkatan sebanyak 5.34 peratus daripada tahun sebelumnya.
Dari perspektif sejarah, setiap kali berlakunya krisis ekonomi, peratusan peningkatan hutang isi rumah naik setiap tahun.
Oleh itu, tidak hairanlah jika hutang isi rumah meningkat ke paras 90 peratus daripada KDNK seperti mana yang diumumkan oleh BNM baru-baru ini.
Dengan ini, ingin saya ulas sedikit berkaitan asas moratorium dan kesannya ke atas isi rumah. Ada beberapa pakar ekonomi takrifkan krisis ekonomi kini sebagai The Great Shutdown, di mana buat pertama kali dalam sejarah, hampir seluruh negara di serata dunia menutup dan menyekat aktiviti ekonomi mereka bagi mengelakkan sebaran virus Covid-19.
Akibat daripada penutupan itu, permintaan terjejas kerana penawaran semua sektor ekonomi disekat teruk.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan bermula 10 Jun 2020, selain daripada sektor pertanian, semua sektor ekonomi masuk ke fasa awal pemulihan ekonomi walaupun pada tahap masih kurang daripada pengeluaran KDNK tahun lalu.
Ekonomi negara mengucup pada kadar 2.7 peratus berbanding suku sama tahun lalu dan ini adalah lebih perlahan berbanding daripada suku sebelumnya (-17.1 peratus).
Proses pemulihan ekonomi perlu dilihat dari dua aspek berbeza, satu, dasar untuk masuk ke fasa pemulihan dan dua, dasar untuk memperkasakan lintasan pertumbuhan ekonomi selepas fasa pemulihan. Ini penting supaya ekonomi negara pulih apabila wabak berakhir.
Oleh itu, moratorium menyeluruh mesti dinaik taraf kepada fasa TRA supaya pembayaran balik diberikan secara telus, adil dan saksama kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Perlu diingat sekiranya moratorium pembayaran balik diteruskan, ia tidak akan kekal lama. Lambat laun, pergantungan pembayaran balik pinjaman ini perlu diperhalusi semula supaya sektor kredit masa depan boleh berkembang sejajar kehendak pembangunan ekonomi negara.
Masalahnya, lebih lama moratorium pembayaran balik diteruskan, lebih sukar ia ditarik balik bukan saja dari aspek kos dan ekonomi, tetapi ia juga akan menjadi isu perbalahan politik.
Peminjam akan hanya meminjam untuk pembelian jangkamasa pendek bagi pembelian yang susut nilai. Jika boleh, peminjam tidak akan membuat pinjaman untuk pembelian 'lapuk'.
Oleh itu, tidak mustahil jika peminjam hilang kawalan pinjaman mereka dan kurang motivasi untuk tambah nilai hidup mereka sekiranya pinjaman menjadi lebih mahal atau tempoh pembayaran menjadi lebih panjang.
Ini juga akan menyebabkan peminjam ketinggalan apabila ada antara kita yang mampu meminjam untuk aset yang lebih tinggi nilainya apabila ekonomi negara pulih.
Pendek kata, peminjam terpaksa bekerja lebih kuat dan lebih lama semata-mata untuk melangsaikan hutang lapuk.
Selain itu, apabila ekonomi pulih, pendapatan boleh guna peminjam untuk kecemasan akan terjejas kerana tempoh bayaran balik hutang lama dilanjutkan.
Secara agregatnya, kebergantungan rakyat kepada peranan kerajaan untuk menyelesaikan masalah hutang isi rumah menjadi lebih tinggi.
Kerajaan juga akan terpaksa selesaikan masalah yang lampau dan bukannya selesaikan masalah isi rumah untuk masa depan.
Setelah kita teliti asas pertimbangan isu ini, apakah perkara yang betul untuk kita sama-sama menyelesaikan masalah ini?
Pertama, sebagai peminjam, kita perlu pastikan pendapatan isi rumah selari dengan tahap bayaran kita ketika ini dan juga selari dengan pendapatan pada masa depan.
Jika peminjam rasa terhimpit dan terjerat dengan situasi semasa, sektor perbankan wajib memberikan sokongan sewajarnya agar budaya kredit kita sihat di setiap peringkat.
Tetapi, jika peminjam berasa mampu untuk teruskan pembayaran pinjaman walaupun pada kadar yang sedikit, ini mestilah dialu-alukan supaya sektor perbankan negara tidak tersekat untuk memberikan pinjaman kepada peminjam yang layak pada masa depan.
Secara umumnya, sekali lagi saya tekankan kos akibat penutupan dan sekatan ekonomi sangat tinggi dan kesannya adalah berbeza dari satu individu ke satu individu yang lain.
Penulis:
Firdaos Rosli, +603-2717 2936/ firdaos@marc.com.my
Firdaos Rosli, +603-2717 2936/ firdaos@marc.com.my
Pakar Ekonomi Kanan dan Ketua Penyelidik